September 18, 2013

entri #1 : Perihal Anak Mereka Masuk Universiti

assalamualaikum.
kali ni gua nak kongsikan entri gua bagi Pertandingan Menulis cerpen #SERONOK & #SAMAR
yes. gua tak menang.

Surat tawaran ke universiti. Surat itulah. Surat yang semua pelajar lepasan SPM, STPM, Asasi ataupun Matrikulasi nantikan. Duduk depan pintu rumah tunggu abang posmen. Tunggu abang yang pakai baju merah putih biru bawak motosikal dengan sampul putih itu. Sampul yang diatasnya tertera “Urusan Seri Paduka Baginda”. Ya. Surat itulah.

“Anak mak dapat masuk universiti? Syukurlah! Malam ini kita buat kenduri kesyukuran. Kejayaan ini perlu disebarkan. Biar jiran semua tahu anak mak masuk universiti.” Kata ibu kegirangan sebaik sahaja surat itu tiba ditangan dan dibaca dia.

“Baguslah kamu dapat diterima masuk universiti tempatan. Kerajaan mesti tolong. Anak melayu masuk universiti kan? Pasti Menteri Besar kita salur bantuan. Bagus. Alhamdulillah.” Kata ayah apabila menerima surat itu sampai ke tangannya. Belum baca lagi dia sudah tahu itu universiti kerajaan.

Mereka teruja. Mahu tidak. Anak yang dibesarkan. Dihantar ke sekolah rendah kemudian menengah dan kini dapat tawaran ke universiti. Pastilah teruja.

Petang itu ibu terus sahaja ke pasar. Beli barang dapur. Majlis kesyukuran perlu meriah. Itu kata dia. Dia mahu masak Ayam Masak Merah. Panas. Pedas. Sesuai dengan keraian yang akan dibuat malam itu. Anaknya masuk universiti. Itu berita panas. Berita pedas.

Petang itu ayah terus sahaja ke pejabat pembandaran. Mahu dikhabar tentang kemasukan anak ke universiti. Agar orang atasan tahu. Agar menteri tahu. Anak melayu masuk universiti. Perlu dibawa ke pengetahuan YB. Agar YB dapat salurkan ke menteri. Agar bantuan turun mencurah curah. Anaknya masuk universiti. Kerajaan perlu bagi bantuan. Kerajaan perlu salur wang.

Malam itu, ibu jadi chef paling hebat. Siapkan jamuan untuk lebih 50 orang dengan pantas. Peluh mengalir pantas diseka. Penat menjalar cepat dinafi. Ini malam istimewa. Dia perlu cergas. Dia perlu pantas. Anaknya masuk universiti. Dia perlu jadi chef paling hebat.

Malam itu, ayah jadi jurucakap paling hebat. Sambut tetamu yang tak kunjung tiba tanpa lelah. Baju melayu diseterika tepat. Sampin songket diikat kemas. Ini malam istimewa. Dia perlu segak. Dia perlu jaga penampilan. Anaknya masuk universiti. Dia perlu jadi jurucakap paling hebat.

Majlis kesyukuran berlangsung penuh gilang gemilang. Tak pernah disangka ibu dia mampu untuk masak sebanyak itu dalam masa singkat. Tak pernah disangka ayah rumah mereka yang kecil itu mampu menampung tetamu yang banyak itu. Bagi mereka, ini adalah kesyukuran paling tinggi. Anak mereka masuk universiti. Peduli suara orang lain mengata belakang.

‘Anak diterima masuk universiti saja. Bukan mahu kahwin. Membazir sahaja.’

‘Baru diterima masuk anaknya itu. Belum tentu cemerlang’

‘Anak aku dulu masuk jugak universiti. Tiadanya aku buat majlis ini’

Kalau mahu dikata mereka membazir. Katakan sahaja. Mereka buat atas dasar sedekah. Ini tanda syukur mereka pada Ilahi. Diterjemah melalui sedekah sebegini.

Kalau mahu dikata anaknya belum tentu cemerlang. Katakan sahaja. Itu urusan masa depan. Berserah pada Ilahi sahaja. Itu bukan urusan mereka.

Kalau mahu dikata orang lain tiada buat majlis ini. Katakan sahaja. Anaknya yang satu itu itulah. Mana mungkin dibiar tanpa diraikan.

Mereka sibuk berkata. Namun masih suap lauk Ayam Masak Merah ke mulut dengan selera.

Biarkan sahaja mereka. Apa mereka kata. Ibu dan ayah relakan. Ibu dan ayah maafkan. Malam itu malam istimewa. Anak mereka masuk universiti. Mereka orang paling SERONOK dalam dunia.

No comments:

Post a Comment