April 07, 2015

KisPen #10 : Aliya

"Haih, tidur dah ke Aliya tu Ma?", tanya Aliff sebaik sahaja habis semangkuk bubur untuk makan lewat malam itu.

Bubur Istimewa No.1 di Sentosa ni memang selalu jadi tumpuan setiap malam menjelang ke awal pagi. Terutama bagi yang baru keluar menonton filem tengah malam.

"Tidur la Pa, dalam wayang pun dah lentok. Tengok cerita bom sana bom sini pun lena dia tuh." Hidaya sentiasa prihatin dengan anak bongsunya itu. Sekurangnya sekarang, itulah anak bongsunya.

"Meh la Mirul angkat Aliya masuk kereta dulu. Mirul pun habis minum dah. Nanti Ma bawakkan selipo Aliya ek." Amirul menawarkan diri.

Terasa berat Aliya bila adiknya tu semakin membesar saban hari. Penuh cermat Amirul mendukung adiknya ke kereta. Sampai di kereta, terus dia meletakkan Aliya di ruang belakang tempat duduk agar dia dapat tidur dengan selesa. Bantal berimejkan Elsa dari filem Frozen turut disendalkan di kepala Aliya. Terdengar suara mama dan papanya menghampiri. Amirul keluar.

"Hey Mirul! Kata nak tolong angkat Aliya ni. Menonong jek jalan pi kereta. Dah laa Aliya ni dah berat." jerit Aliff sebaik sahaja nampak Amirul keluar dari kereta mereka.

Amirul terpaku. Papanya mendukung Aliya. Dengan perlahan dia menoleh ke ruang belakang tempat duduk. Sepasang mata kuning dengan senyuman paling lebar menyerigai ke arahnya.

March 29, 2015

of Sarapan and Orang Tua

Pagi Ahad hari ni patutnya keluar dengan si dia. Tapi awal pagi tadi dia hantar mesej mengatakan janji kami harus ditunda ke lain masa kerana ayahnya tiba tiba mengajak balik ke kampung. Ada juga aku menawarkan untuk menjadi pemamdu namun ditolak. Akhirnya, dari tadi aku masih di katil. Aku toleh ke jam loceng paling comel hadiah si dia ketika harijadi ku ke-25, sudah jam 9.30 pagi. Ahhh. Kalau dilayan malas ini, sampai Maghrib pun aku atas katil.

Bangun. Capai tuala. Mandi.

Telefon bimbitku berbunyi tatkala jam penggera yang ditetapkan jam 10 pagi aktif. Bukan sengaja bangun lewat. Kebiasaan kerjaku hanya bermula jam 11 pagi. Kerja apa? Kenapa nak tahu?

Perut yang sudah mula berdondang sayang membuatkan aku memutuskan untuk turun ke kedai mamak di kedai bawah flat bujang aku. Inilah satu-satunya kedai makan paling dekat dalam radius 500m dari kediaman aku. Satu lagi di hujung simpang sana. Kedai mamak jugak. Aku tak tahu ilmu apa yang mamak dalam Malaysia ni pakai sampai boleh dikatakan setiap 500m ada satu kedai mamak.

Aku duduk di tempat biasa aku duduk setiap kali sebelum pergi kerja. Ada seorang tua duduk di meja hadapan menghadap ke arahku. Dia pandang aku. Aku pandang dia. Dia senyum. Aku balas senyumannya. Aku terus menggamit 'anney' mamak tu dan memesan menu biasaku.

Roti telur jantan. Kopi o keras.

Orang tua tadi masih memandangku, seolah olah ada sesuatu yang tak kena dengan aku pagi ini. Hmmm. Zip aku tertutup kemas. Tiada kemungkinan ada burung terlepas bebas pagi ini. Aku cuba buat tak tahu. Tiba tiba orang tua itu melambai tangannya dan memanggil aku untuk duduk bersamanya. Sebagai seorang jejaka melayu terakhir abad ini yang penuh sopan santunnya, aku bergerak ke mejanya sambil mengisyaratkan 'anney' mamak tadi yang aku menukar tempat.

"Nama anak ni siapa?", orang tua tersebut memulakan.
"Emm. Ahmad cik. Tapi kawan selalu panggil Ciku."
"Ohh. Ahmad. Nama cik Rosli. Selalu orang panggil Duku."
"Err. Pakcik Duku?"
"Eh. Cik bergurau. Panggil Cikli je lah nak Ahmad."
"Baik Cikli."

Perbualan kami rancak sehinggalah cawan kopi o keras aku yang ketiga tiba tiba Cikli bertanya.

"Kamu bangun pagi tadi bagi salam ke Allah tak?"
"Eh. Kenapa pulak Cikli?"
"Takde. Cikli nampak kamu ni baik. Tapi sayang, muka kamu tak bercahaya."
"Wah. Cikli boleh nampak cahaya dekat muka saya ke?"
"Eh. Cikli boleh nampak apa benda yang orang lain tak nampak ni."

Pelbagai cerita yang keluar dari mulut Cikli. Tentang zikir dia terus menerus selama 5 tahun. Tentang bagaimana dia mengalih hujan. Tentang perbualan hangatnya bersama Tuhan. Tentang bagaimana dia lihat cahaya terang keluar dari al-Quran ketika dia mengkajinya.

"Nak Ahmad, kamu rasa alQuran lengkap tak tanpa Hadis Nabi SAW?"
"Tak lah. Kan memang kita kena ikut dua-dua Cikli."
"Haa. Tu lah silap kita. Hadis tu kata-kata Nabi SAW jek. Kamu pernah bos kamu bagi arahan kepada kamu melalui orang lain dan arahan yang kamu terime tu salah?"
"Pernah Cikli."
"Haa. Kata-kata jugak tu. Baru dari bos kamu, ke seorang lain, ke kamu. Dah ada salah. Kalau dari Nabi SAW tu dah berapa ribu orang? Tak nak Cikli percaya. AlQuran tu lengkap. Tak payah hadis."
"Macam tu pulak?"
"Sebab tu sepatutnya, kita ni tak payah tunggang tungging solat. Dalam alQuran mana ada tunjuk Solat tu macam mana."

Aku dengan perlahan, bangun dan salam Cikli. Minta izin untuk ke tandas, tapi bergerak ke kaunter. Bayar sarapan aku dan terus berlalu.

"Nak Ahmad! Kata nak ke tandas? Tandasnya kat belakang sana."
"Takpe Cikli. Saya pergi tandas rumah saya."

Terpinga muka Cikli. Rupanya cerita panjang panjang tu nak bagi alasan tak nak solat jek. Siot punya orang tua.