August 13, 2013

KisPen #3 : Sauna

Khairul duduk bersandar di kerusi yang ada dalam bilik itu. Tualanya dililit ke pinggang dan hujung tualanya turut diselitkan di tempat yang sama. Hawa panas yang menyelubungi bilik dua pintu itu terasa menyegarkan. Peluhnya merembes segar. Semalam dia terbaca satu artikel.

Duduk dalam sauna selama tiga hari berturut-turut mampu membantu seseorang untuk berhenti merokok. Peluh yang dikeluarkan ketika di dalam sauna turut mengeluarkan sisa nikotin.

Begitulah artikel itu. Ini hari pertamanya. Bermacam cara dia sudah cuba untuk memenuhi kehendak kekasihnya.

Saya bukan tak mahu kahwin dengan Abang. Tapi itu syarat mak dengan ayah. Dia tak nak lelaki yang merokok. Jadi kalau Abang nak kahwin jugak dengan Ina, Abang kena berhenti merokok.

Begitulah pesanan kekasihnya. Hawa panas sudah dirasakan ke seluruh tubuh. Dia mengerling jam di tangan. Baru sepuluh minit berlalu sejak dia mula masuk ke bilik itu.

Ini lu duduk ini sauna ahh. Mahu kurang kurang 30 minit ahh. Kalau kurang dia punya kick tak sedap maa. Kalau lu mau duduk kasi lebih 30 minit. Baru power maa dia punya rasa.

Begitulah saranan apek jiran rumahnya apabila ditanyakan tempat sauna berhampiran. Masih ada 20 minit lagi.

Sedang Khairul menikmati hawa panas itu, pintu bilik itu dikuak. Seorang pemuda masuk lengkap dengan sweater dan seluar jeans. Khairul pelik. Pemuda itu semakin lama semakin pelik. Kakinya dirapatkan ke dada. Tangannya memeluk tubuh. Khairul semakin pelik.

"Bro, sejuk gila tempat ni" kata pemuda itu.

Pemuda itu tidak kelihatan matanya. Ataupun matanya dipejam. ataupun memang sudah tiada matanya.

Khairul bangkit. Persetankan artikel itu. Persetankan pesanan kekasihnya. Persetankan saranan apek jirannya. Dia tak mahu duduk di dalam sauna itu bersama setan.

No comments:

Post a Comment