April 07, 2015

KisPen #10 : Aliya

"Haih, tidur dah ke Aliya tu Ma?", tanya Aliff sebaik sahaja habis semangkuk bubur untuk makan lewat malam itu.

Bubur Istimewa No.1 di Sentosa ni memang selalu jadi tumpuan setiap malam menjelang ke awal pagi. Terutama bagi yang baru keluar menonton filem tengah malam.

"Tidur la Pa, dalam wayang pun dah lentok. Tengok cerita bom sana bom sini pun lena dia tuh." Hidaya sentiasa prihatin dengan anak bongsunya itu. Sekurangnya sekarang, itulah anak bongsunya.

"Meh la Mirul angkat Aliya masuk kereta dulu. Mirul pun habis minum dah. Nanti Ma bawakkan selipo Aliya ek." Amirul menawarkan diri.

Terasa berat Aliya bila adiknya tu semakin membesar saban hari. Penuh cermat Amirul mendukung adiknya ke kereta. Sampai di kereta, terus dia meletakkan Aliya di ruang belakang tempat duduk agar dia dapat tidur dengan selesa. Bantal berimejkan Elsa dari filem Frozen turut disendalkan di kepala Aliya. Terdengar suara mama dan papanya menghampiri. Amirul keluar.

"Hey Mirul! Kata nak tolong angkat Aliya ni. Menonong jek jalan pi kereta. Dah laa Aliya ni dah berat." jerit Aliff sebaik sahaja nampak Amirul keluar dari kereta mereka.

Amirul terpaku. Papanya mendukung Aliya. Dengan perlahan dia menoleh ke ruang belakang tempat duduk. Sepasang mata kuning dengan senyuman paling lebar menyerigai ke arahnya.

1 comment: